![]() |
| Dr Tamilselvan |
Manusia dikurniakan dengan sistem imun untuk melindunginya dari serangan berjuta-juta virus, kuman, bakteria, kulat dan parasit yang boleh mendatangkan berbagai-bagai penyakit. Sistem imun bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu untuk memastikan kita kekal sihat. Ia terdiri daripada berbilion sel darah putih yang keluar masuk dari timus, nodus limfa, hati dan limpa. Sel-sel ini bergerak di dalam saluran darah dan saluran limfa ke lokasi yang diperlukan untuk menentang musuh. Namun begitu keberkesanan sistem imun semakin berkurangan apabila usia kita makin meningkat. Faktor yang melemahkan sistem imun antaranya adalah tabiat makan yang buruk, makanan berproses, hormon dalam ayam dan daging ternakan, tidak cukup rehat, stres, bahan kimia dalam persekitaran (racun perosak, racun rumput rumpai), alkohol, tidak bersenam, dll.
Kita tentu pernah mendengar ungkapan "punca penyakit adalah perut", kini kita memahami apa sebenar maksudnya. Apa yang kita makan dan minum boleh merosakkan sistem imun kita. Apabila sistem imun tidak berfungsi dengan baik, kita akan mendapat penyakit.
Pakar gerontologi percaya bahawa kegagalan sistem imun akan membawa kepada kematian awal. Oleh itu, mempunyai sistem imun yang bertenaga dan efisien menjadi satu daripada perkara penting untuk menghadapi hari tua dengan jayanya.
Bagi mengekalkan sistem imun yang sihat, seseorang harus membetulkan kesemua faktor yang menjejaskan keberkesanannya. Kita perlu mengambil diet sihat yang seimbang dengan membanyakkan buah-buahan (yang dipetik apabila sudah masak ranum), sayur-sayuran, protein berkualiti tinggi (yang bebas dari racun serangga dan suntikan hormon) dan bersenam.
Kunci kepada kesihatan dan kesejahteraan di masa hadapan adalah memperkasakan sistem imun. Sebelum kita membuat sesuatu, kita perlu memberi perhatian kepada sistem imun terlebih dahulu. Jadi, sebelum mengambil berbagai pemakanan tambahan untuk menambah kesihatan, kita perlu membantu sistem imun terlebih dahulu.

No comments:
Post a Comment